Saturday, August 23, 2008

HADIRIN TIDAK LEWAH?

Saya telah bertanya beberapa kemusykilan bahasa melalui ruang yang disediakan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP). Tetapi secara ikhlasnya saya kurang berpuashati dengan beberapa jawapan yang diberikan oleh pegawai (pegawai-pegawai) yang telah diberi tanggungjawab untuk merungkaikan setiap persoalan orang awam.
Misalnya, dahulu saya ada bertanyakan tentang kelewahan yang berlaku dalam bahasa Melayu. Saya memberi beberapa contoh ayat dan frasa-frasa yang sering dituturkan dan digunakan oleh penutur bahasa Melayu. Maka, jawapan yang saya terima ialah kelewahan tidak sepatutnya berlaku dan tidak digalakkan sama sekali.
Namun, apabila saya bertanyakan pula tentang entri “hadirin” yang terdapat dalam Kamus Dewan (KD), jawapan yang saya terima begitu mengelirukan. Beliau mengatakan bahawa itulah istimewanya bahasa Melayu. Tetapi apabila saya bertanyakan semula, bila lewah dianggap istimewa dan bila pula lewah tidak digalakkan, sampai ke hari ini saya tidak diberikan sebarang jawapan oleh pihak DBP.
Pada pemahaman saya, kata “hadirin” itu sudah merujuk kepada ramai. Memang saya tahu bahawa kata “hadirin” ialah kata yang menerima imbuhan bahasa asing (Arab). Itulah yang diberitahu oleh Tatabahasa Dewan (TD). Maka saya bertanyakan pula mengapakah frasa contoh yang diberikan dalam KD “… para hadirin bertepuk tangan” harus dimasukkan untuk menjadi contoh penggunaan kata tersebut. TD telah menetapkan hukum, apabila penanda jamak telah hadir dalam mana-mana bahagian ayat / frasa, maka tidak perlu ada lagi penanda jamak yang lain. Kalau masih juga berlaku hal yang sedemikian (kehadiran penanda jamak yang berulang) maka berlakulah kelewahan dalam sesuatu ayat. Hal inilah yang menjadi kemusykilan saya. Semenjak daripada bangku sekolah, hingga ke universiti, kemudian menjadi guru bahasa, saya telah ditanamkan dengan satu tanggapan bahawa TD dan KD merupakan “kitab pegangan” bagi bahasa Melayu. Apabila “kitab pegangan” itu sendiri mengelirukan, bagaimana pula “pegangan” tersebut boleh menjadi panduan yang berotoriti?
Untuk perbincangan lebih lanjut, kita lihat akan penggunaan kata “hadirin” serta fungsi dan kedudukannya dalam bahasa Melayu. Saya akan cuba membahaskan penggunaan kata hadirin dalam sesebuah wacana.
Saya berikan suatu situasi:
Aman sedang bercakap-cakap dengan Amin. Latar tempatnya di kantin sebuah sekolah. Hanya mereka berdua sahaja yang terlibat dalam percakapan tersebut. Apakah mungkin Aman akan mengucapkan ayat :
“Hadirin sedang makan apa?” kepada Aman. Sudah tentu ayat yang sedemikian tidak akan wujud sama sekali. Sebabnya, perbualan tersebut berlaku secara tidak formal. Lagipun yang terlibat dalam percakapan tersebut hanyalah antara seorang dengan seorang yang lain. Jadi memang jelas perkataan hadirin tidak boleh digunakan apabila digunakan untuk merujuk kepada kata nama tunggal.
Ada pula yang berpandangan bahawa kata “hadirin” digunakan dalam sesuatu majlis. Soalnya sekarang, apakah “majlis” itu wujud sekiranya yang datang hanyalah seorang sahaja? Tuan rumah majlis tersebut tentunya tidak akan mengeluarkan ayat “Silalah hadirin menjamah selera,” kepada hanya seorang tetamunya sahaja.
Secara tuntasnya, memang jelas bahawa kara “hadirin” sudah merujuk kepada jamak. Jadi KD seharusnya dinilai semula akan entri serta contoh frasa yang dikemukakan untuk menjelaskan maksud kata “hadirin”. Atau mungkin ada sesiapa yang berminat untuk mempertahankan frasa “ para hadirin bertepuk tangan” itu sebagai frasa yang tidak lewah?

KATA TANYA DALAM AYAT PENYATA : BENARKAH PENGARUH DARIPADA BAHASA INGGERIS?

Banyak ahli bahasa yang berpandangan bahawa kehadiran kata tanya dalam ayat penyata ialah pengaruh daripada bahasa Inggeris. Pandangan yang sedemikian telah menjadi suatu alasan yang dikemukakan oleh kebanyakan ahli bahasa apabila mereka menyalahkan ayat penyata yang memasukkan kata tanya.
Dalam Tatabahasa Dewan (TD), kata tanya yang telah disenaraikan ialah apa, bila, siapa, mana, bagaimana, dan mengapa. Semua kata ini telah difatwakan tidak boleh hadir dalam mana-mana ayat penyata kerana bersalahan dengan hukum yang telah ditetapkan.
Di sini, saya ingin menarik perhatian tentang alasan yang dikemukakan oleh ahli-ahli bahasa ini. Alasan mutlak mereka ialah fenomena ini berupa pengaruh bahasa Inggeris. Sejauh manakah alasan mereka ini boleh diterima?
Saya dapati dalam beberapa teks karya sastera Melayu lama, telah ada beberapa ayat penyata yang terkandung jenis kata yang digolongkan sebagai kata tanya oleh TD. Misalnya:
i. “… sebab apa barang katanya dan apa barang maksudnya dikabulkan oleh Sang Hiyang Jaganata dan hajatnya disampaikan oleh segala dewa-dewa dan betara.” (Hikayat Panji Semirang, DBP, hal 3)
ii. “Sudahlah”, memang hamba perempuan pasar yang tiada berketahuan asal dan bangsa dan tiada ketahuan turunan mana .” (Hikayat panji Semirang, DBP. Hal 6)
iii. Barang ke mana tuan itu pergi panah itu dibawanya. (Sulalatus Salatin, DBP, hal 95)

Semua hasil karya di atas dihasilkan oleh para cendekiawan Melayu. Kecuali Sulaltus Salatin yang mencatatkan namanya sebagai pencatat karya tersebut, karya-karya yang lain tidak dinyatakan orang yang menulisnya. Tetapi yang pasti, kesemua mereka ini mempunyai satu persamaan. Persamaan tersebut ialah mereka tidak tahu berbahasa Inggeris. Saya berpandangan demikian kerana pada masa tersebut pengaruh Inggeris di alam Melayu belum lagi benar-benar signifikan. Tiada keperluan bagi masyarakat setempat untuk menguasai bahasa Inggeris. Malah yang berlaku ialah orang-orang Inggeris yang bersungguh-sungguh untuk mempelajari bahasa Melayu. Jadi, apakah asasnya yang telah digunakan oleh pakar bahasa untuk mengatakan yang kehadiran kata tanya dalam ayat penyata sebagai pengaruh daripada bahasa Inggeris? Tun Seri Lanang yang tidak tahu langsung tentang bahasa Inggeris tentulah mustahil dalam pemikirannya sudah terpengaruh dengan bahasa tersebut.
Tidakkah ini menunjukkan bahawa begitulah caranya orang-orang Melayu membentuk ayat? Jadi mengapakah kita harus mencipta suatu hukum tatabahasa yang tidak berdasarkan cara pembentukan sesuatu ayat tersebut? Kita mempunyai korpus bahasa, kita haruslah menggunakan korpus tersebut. Jadi adalah tidak salah kiranya kita menambahkan satu lagi fungsi kata tersebut. Mungkin ahli-ahli bahasa boleh memikirkan sesuatu dan mencipta suatu istilah untuk menerangkan kedudukan kata tersebut. Hal ini juga turut terjadi apabila TD telah menambah satu lagi kelas kata dalam kelompok kata tugas iaitu kata adverba. Dahulu kita tidak mempunyai kata adverba. Fungsi kata adverba sudahpun boleh diterangkan dalam golongan kata keterangan. Tetapi sekarang ini dalam edisi terbaharu TD, telah dimasukkan kata adveba.

Malah kalau ditinjau pantun Melayu tradisional pun, terdapat kehadiran kata tanya dalam ayat penyata. Antara contohnya ialah:
Anak dara duduk di pintu,Duduk menunggu padi jemur;Janganlah adik kata begitu,Belasnya abang bila mendengar.
Ikan putih terenang-renangAnak sepat dari muaraSungguh sedih bila dikenangSahabat setia buat angkara
Mungkin ada yang berpendapat bahawa telah berlaku pengguguran kata “apa” dalam perkataan “apabila”. Jadi timbullah ungkapan “…belasnya abang bila mendengar”. Sepatutnya ialah “…belasnya abang apabila mendengar.”
Sebenarnya, inilah yang menjadi sedikit kekeliruan bagi tatabahasa yang berpegang kepada teori TG. Secara asasnya teori ini berpegang kepada perubahan-perubahan yang berlaku dalam sesuatu pembinaan ayat / frasa. Teori ini ada struktur luaran dan struktur permukaan. Kalau ditinjau aspek ini, maka pendapat yang mengatakan berlakunya pengguguran morfem memanglah boleh diterima. Pengguguran itu mungkin berlaku disebabkan pengucap pantun ini ingin menjaga bilangan suku kata serta jeda pantun ini. Tetapi apakah ini satu-satunya alasan yang boleh diterima? Soalnya, mengapa pengguguran itu berlaku pada kata “bila”? Mengapa tidak pada perkataan-perkataan lain? Misalnya pengguguran “belasnya” menjadi “belas” sahaja, ataupun pengguguran imbuhan “men-“ dalam kata “mendengar” menjadi “dengar” sahaja. Ini menunjukkan bahawa pemilihan perkataan “bila” itu sebenarnya berlaku dalam keadaan semulajadi. Itulah caranya orang-orang Melayu membentuk ayat dan bahasa mereka. Mengapakah kita harus menyalahkan kepada sesuatu yang sudah menjadi kelaziman?

Thursday, August 21, 2008

Tatabahasa Melayu itu ialah Tatabahasa Dewan?

Semua sudah maklum bahawa tatabahasa pegangan / rasmi yang telah diangkat sebagai tatabahasa pegangan ialah tatabahasa yang bersandarkan Tatabahasa Dewan (TD). Buku TD ini telah dikarang oleh empat orang tokoh bahasa tersohor negara iaitu Profesor Emiritus Dato' Dr Nik Safiah Karim, Dr Farid M Onn, Profesor Dr Abdul Hamid Mahmood, dan Profesor Dr Hashim Musa. Oleh kerana semua sarjana tersebut berpegang kepada teori Transformasi Genaratif (TG), maka sudah tentulah pembicaraan dalam TD akan beracuankan TG.
Untuk tulisan yang seterusnya saya akan membicarakan beberapa aspek yang menjadi kekeliruan para pengamal bahasa Melayu apabila mereka menjadikan TD sebagai kerangka rujukan untuk berbahasa dengan molek.