Monday, January 26, 2009

Jawapan atau Jawaban?

Mengapakah saya berpendapat bahawa "jawapan" adalah ejaan yang tepat, bukannya "jawaban"?

Soalnya di sini, adakah sumber pegangan yang menyatakan ejaan "jawaban" juga boleh diterima, seganding "jawapan"? Saya berpendapat pegangan sebegitu kurang tepat.

Premis hujah saya ialah begini :
1) Dalam ilmu linguistik terdapat dua perkara asas yang berbeza. Yang pertama dikatakan sebagai lingusitik deskriptif, manakala satu lagi ialah lingusitik persekptif. Kedua-dua cabang lingusitik ini memang jelas perbezaannya. Lingusitik deskriptif ini ialah ilmu lingusitik yang khusus untuk mencatat, menganlisis apa-apa sahaja unsur linguitik dalam sesuatu bahasa. Sama ada yang dicatatkan dalam linguistik ini adalah salah atau betul, itu bukan yang menjadi asasnya. Yang termasuk dalam linguistik jenis ini ialah termasuklah sosiolinguistik, leksikografi, dan lingusitik rekonstruktif.
Manakala untuk lingusitik preskriptif ini ialah cabang ilmu linguistik yang akan menentukan salah atau betulnya sesuatu unsur bahasa, khasnya dalam soal tatabahasa. Yang termasuk dalam rangkuman cabang lingusitik ini termasuklah sistem ejaan.
2) Kamus Dewan (KD) merupakan kamus yang termasuk dalam pengkajian leksikografi. Leksikografi ialah cabang ilmu lingusitik yang berbentuk deskriptrif. Oleh sebab KD merupakan kamus, maka segala entri yang terdapat di dalamnya bukannya berdasarkan betul atau tepat sesuatu perkataan. Kamus merupakan suatu naskhah yang mendokumentasikan setiap unsur leksikal yang terdapat dalam sesuatu bahasa. Dan leksikal ini boleh berbentuk apa-apa sahaja berdasarkan tujuan pembentukan sesuatu kamus. Maka dengan itu kita mempunyai Kamus Kata Ganda, Kamus Peribahasa, Kamus Geografi, dan yang seumpama dengannya. Berbalik kepada KD, tujuan penaskahannya ialah untuk mendokumentasikan segala bentuk leksikal yang terdapat dalam bahasa Melayu yang kemudiannya telah dijadikan entri bagi kamus tersebut. Dalam soal ini, tidak timbul sama ada sesuatu kata itu salah atau betul tatabahasanya. Selagi kata terdapat dalam bahasa Melayu, maka kata tersebut akan dijadikan sebagai suatu entri.
3) Untuk linguistik yang bersifat preskriptif, kita mempunyai Tatabahasa Dewan (tatabahasa yang menjadi tatabahasa pegangan di institusi pendidikan), Nahu Melayu Mutakhir, Tatabahasa Dinamika Bahasa Melayu dan banyak lagi buku-buku tatabahasa yang dihasilkan oleh pakar-pakar bahasa di Malaysia. Manakala untuk sistem ejaan pula, Daftar Kata Bahasa Melayu (Edisi Kedua) dan Daftar Ejaan Bahasa Melayu merupakan buku panduan yang menjadi pegangan dalam pembentukan sesuatu ejaan.

Setelah kita memahami akan perkara asas ini, maka persoalan manakah yang tepat antara "jawapan" dan "jawaban", akan terungkai. Dalam buku Daftar Kata Bahasa Melayu (Edisi Kedua) tidak tercatat kata "jawaban". Begitu juga dengan buku daftar Ejaan Bahasa Melayu, pun tidak tercatat kata "jawaban". Yang ada ialah "jawapan" sahaja.

Ada yang mengatakan buku Daftar Ejaan Bahasa Melayu sudah ketinggalan kerana sudah lama tidak dikemaskinikan. Sebenarnya yang membangkitkan perkara ini tidak memahami ilmu lingusitik itu sendiri. Jawapan saya begini : sistem ejaan baharu yang telah dilancarkan dan diterima pakai semenjak 1973 adalah berbeza sama sekali dengan sistem tatabahasa. Sistem ejaan tidak akan mengalami perubahan secara dinamik. Kalau begitu sifat ejaannya, maka begitulah kewujudannya. Namun begitu, bagi sistem tatabahasa, oleh sebab sifatnya yang dinamik, maka sesuatu tatabahasa itu mungkin akan mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Pun begitu, perubahannya tidaklah berlaku secara intensif dan berkala. Misalnya, dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, ada dimasukkan Kata Adverba dalam kelompok Kata Tugas. Sebenarnya, Kata Adverba yang dimasukkan ke dalam TD ini bukanlah suatu penemuan baharu. Kemasukannya hanyalah atas dasar untuk memudahkan pendokumentasian bagi aspek leksikografi (perkamusan). Sebenarnya Kata Adverba itu telahpun dapat diterangkan oleh Kata Keterangan yang sebelum ini ada dibincangkan dalam buku Tatabahasa Dewan edisi terdahulu.

Jadi kesimpulannya ialah, "Jawaban" itu boleh dipertikaikan, manakala "jawapan" itulah yang sebenarnya. Sebenarnya banyak lagi hujah untuk membuktikan "jawapan" itu yang betul. Hujah-hujah itu akan menyusul dalam artikel yang ke seterusnya.

No comments: