Monday, May 25, 2009

Baharu = Kata Adjektif; Baru=Kata Adverba?

Seorang Munsyi Dewan yang bertugas di PPD Daerah Kinta Utara dan Selatan, Perak Darul Ridzuan, telah mendakwa bahawa perkataan baharu dan baru adalah berbeza. Sememangnya isu yang mendakwa dua perkataan tersebut tergolong dalam kelas kata yang berbeza sudah pun menjadi sedikit perdebatan.
Bagi saya, dakwaan yang dibuat oleh Munsyi Dewan tersebut telah menimbulkan sedikit keraguan. Sudah menjadi pengetahuan umum yang Munsyi Dewan yang diantik oleh DBP telah menjadikan Tatabahasa Dewan dan Kamus Dewan sebagai “kitab suci” mereka. Tetapi apabila Munsyi Dewan tersebut telah mendakwa bahawa terdapat perbezaan antara perkataan baharu dan baru, maka saya tertanya-tanya; apakah individu yang dilantik sendiri oleh DBP telah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Kamus Dewan?
Dalam Kamus Dewan, halaman 105, terdapat entri baharu yang dimaknakan sebagai baru. Dengan kata lain, Kamus Dewan telah menyatakan dua perkataan tersebut mempunyai makna yang sama dan tidak mempunyai sebarang perbezaan. Dalam hal ini, saya amat bersetuju dengan Kamus Dewan.
Saya telah menyelongkar beberapa buah hikayat Melayu lama seperti Sejarah Melayu, Hikayat Pendawa Lima, Hikayat Merong Mahawangsa, Syair Gurindam Dua Belas, dan beberapa buah kitab yang lain. Saya mendapati dalam kitab-kitab tersebut tidak terdapatnya perkataan baru, tetapi yang ada ialah perkataan baharu.
Sebenarnya, fenomena penghilangan [ha] dalam beberapa perkataan bahasa Melayu merupakan suatu fenomena biasa. Inilah yang dikatakan terdapatnya rumus penyahsuaraan yang sering berlaku dalam bahasa Melayu. Oleh kerana fenomena ini merupakan fenomena yang biasa terjadi, dan berlaku secara konsisten, maka inilah rumud dan aturan yang terdapat dalam bahasa Melayu.
Antara perkataan-perkataan lain yang juga mengalami fenomena yang sama ialah :
cahari --> cari
bahagi --> bagi
tahu --> tau
dahulu --> dulu
bahulu --> baulu
Kalau diperhatikan kepada perkataan-perkatan di atas, kebanyakan bunyi [h] yang terdapat dalam kebanyakan perkataan bahasa Melayu mempunyai kenderungan untuk dihilangkan. Fenomena ini boleh dijelaskan melalui pengkajian fonologi, yang mungkin Munsyi Dewan tersebut telah terlepas pandang. Dan, satu kelemahan yang ketara yang saya perhatikan kepada kebanyakan Munsyi Dewan ialah, mereka tidak begitu menguasai prinsip fonologi bahasa Melayu. Mereka biasanya akan terus melihat perkataan tersebut dari aspek morfologi, sedangkan perkataan (morfolgi) tidak akan terbina tanpa bunyi (fonologi).
Walaupun, saya mempunyai peluang untuk membahas kembali pandangan beliau, tetapi saya selaku penceramah jemputan telah mengambil langkah untuk menjaga reputasi beliau sebagai Munsyi Dewan yang bertugas di PPD kerana di hadapan kami ialah khalyak guru Bahasa Melayu sekitar Ipoh, apatah lagi beliau telah dijemput untuk merasmikan majlis penutup sebuah majlis yang saya hadiri. Dan sayang sekali, apabila Munsyi Dewan yang bertugas di PPD itu telah pulang sebelum majlis tamat kerana saya sedang berkira-kira untuk berdialog dengan beliau sambil-sambil menikmati hidangan petang.

Sunday, April 12, 2009

Jawapan Atau Jawaban (ii)?

Dalam hantaran sebelum ini, saya telah menegaskan bahawa perkataan “jawapan” adalah lebih tepat mankala “jawaban” tidak boleh dianggap sebagai perkataan yang tepat dalam pembentukan dan kewujudannya dalam bahasa Melayu.

Tidak dapat dinafikan bahawa Kamus Dewan (KD) telah menjadikan “jawapan” sebagai variasi entri untuk “jawaban”. Hujah yang digunakan oleh para penyusun KD berdasarkan pada turunan morfologi perkataan tersebut. Di sinilah, saya berpendapat ahli bahasa yang menyatakan “jawaban” adalah betul agak terkhilaf bukan sahaja dari aspek pemahaman mereka dalam morfologi dan bahasa Melayu malahahan mereka juga telah melupakan satu lagi aspek asas lingusitik iaitu fonologi.

Untuk hantaran kali ini, saya tidak berhasrat untuk membincangkannya dalam aspek morfologi. Hal tersebut akan disentuh dalam hantaran selepas ini.
Pada pengamatan saya, KD telah disusun dengan menjadikan teori Transformasi Generatif (TG) sebagai kerangka utamanya. Oleh kerana itulah, maka entri memperbesarkan sudah tiada lagi dalam KD Edisi Keempat. Yang ada ialah “memperbesar” (Saya hanya memberikan satu contoh entri sahaja). Saya melihat penghilangan entri “memperbesarkan” dalam KD pada kali ini adalah sebagai pematuhan morfologi yang terdapat dalam Tatabahasa Dewan. Saya akan mengulas hal ini dalam hantaran saya yang berikutnya. Saya menyinggung hal ini sebagai antara hujah saya yang mengatakan KD beralaskan kepada TG.

Kerangka asas TG yang membezakannya dengan teori lingusitik yang lain seperti struktural, ialah, TG beranggapan bahawa bahasa terdiri daripada beberapa set rumus. Dengan kata lain, rumuslah yang telah membentuk sesuatu kata dan ayat dalam sesuatu bahasa bahasa. Hal ini berlaku kerana TG beranggapan bahawa proses penambahan, pengguguran dan penukaran merupakan antara proses semula jadi yang berlaku dalam sesuatu bahasa.
Oleh kerana itulah, apabila berhadapan dengan kekeliruan antara “jawapan” dengan “jawaban”, mengapakah kerangka asas pembentukan sesuatu perkataan tidak dilihat? Kerangka asas yang dimaksudkan itu ialah teori TG itu sendiri, dan juga fonologi (fonologi generatif sebagai salah satu unsur dalam TG).
Sebelum ini, telah ditegaskan bahawa TG berpegang kepada rumus. Dalam hal ini, konsep aturan / rantaian morfologi sesuatu perkataan akan menjadi tidak tepat apabila kita ingin menunjukkan berlakunya proses pembentukan sesuatu kata.
jawab + an --> jawaban tidak tepat penganalisannya kerana tidak mematuhi konsep asas TG. Analisis yang sebegini ialah analisis stuktural.
Sekiranya kita tetap mematuhi prinsip TG, maka analisisnya akan menjadi begini:
jawab + an --> jawaban
jawaban = berlakunya rumus penyahsuaraan [b] dalam jawaban --> [p] menjadi jawapan.
Penyahsuaraan [b] ini tetap didokong oleh prinsip pengguguran dan penggantian TG, iaitu apabila [b] digantikan dengan [p].

Lagipun orang-orang Melayu di Malaysia tidak pernah menyebut “jawaban” seperti orang Melayu(?) di Indonesia!

Thursday, March 5, 2009

peN- yang lewah?

Dalam Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (TD), halaman 366 ada menyenaraikan frasa alat pemadam, di bawah subtajuk inti + penerang nama kegunaan. Yang menjadi persoalan di sini, adakah frasa alat pemadam itu betul?

Asas kepada pertanyaan ini berdasarkan kepada aspek makna awalan peN- seperti yang telah disenaraikan oleh TD. Pada halaman 113, ada tertulis:

Awalan peN – penanda makna alat untuk melakukan sesuatu, contohnya:

penggali (alat untuk menggali)

penumbuk (alat untuk menumbuk)

pengayuh (alat untuk mengayuh)

pelali (alat untuk melali)

penuai (alat untuk menuai)

pembajak (alat untuk membajak)

Oleh hal yang demikian itu, bukankah pemadam itu bermaksud alat untuk memadam? Maka dengan itu tentu sekali frasa alat pemadam itu tidak tepat dalam hukum kegramatisan bahasa Melayu kerana telah berlakunya lewah di sini.

Soalnya, apakah ini satu lagi bentuk kecualian yang menjadi premis hujah popular dalam kalangan ahli tatabahasa TG apabila mereka tidak dapat menjelaskan sesuatu fenomena bahasa?

Monday, January 26, 2009

Jawapan atau Jawaban?

Mengapakah saya berpendapat bahawa "jawapan" adalah ejaan yang tepat, bukannya "jawaban"?

Soalnya di sini, adakah sumber pegangan yang menyatakan ejaan "jawaban" juga boleh diterima, seganding "jawapan"? Saya berpendapat pegangan sebegitu kurang tepat.

Premis hujah saya ialah begini :
1) Dalam ilmu linguistik terdapat dua perkara asas yang berbeza. Yang pertama dikatakan sebagai lingusitik deskriptif, manakala satu lagi ialah lingusitik persekptif. Kedua-dua cabang lingusitik ini memang jelas perbezaannya. Lingusitik deskriptif ini ialah ilmu lingusitik yang khusus untuk mencatat, menganlisis apa-apa sahaja unsur linguitik dalam sesuatu bahasa. Sama ada yang dicatatkan dalam linguistik ini adalah salah atau betul, itu bukan yang menjadi asasnya. Yang termasuk dalam linguistik jenis ini ialah termasuklah sosiolinguistik, leksikografi, dan lingusitik rekonstruktif.
Manakala untuk lingusitik preskriptif ini ialah cabang ilmu linguistik yang akan menentukan salah atau betulnya sesuatu unsur bahasa, khasnya dalam soal tatabahasa. Yang termasuk dalam rangkuman cabang lingusitik ini termasuklah sistem ejaan.
2) Kamus Dewan (KD) merupakan kamus yang termasuk dalam pengkajian leksikografi. Leksikografi ialah cabang ilmu lingusitik yang berbentuk deskriptrif. Oleh sebab KD merupakan kamus, maka segala entri yang terdapat di dalamnya bukannya berdasarkan betul atau tepat sesuatu perkataan. Kamus merupakan suatu naskhah yang mendokumentasikan setiap unsur leksikal yang terdapat dalam sesuatu bahasa. Dan leksikal ini boleh berbentuk apa-apa sahaja berdasarkan tujuan pembentukan sesuatu kamus. Maka dengan itu kita mempunyai Kamus Kata Ganda, Kamus Peribahasa, Kamus Geografi, dan yang seumpama dengannya. Berbalik kepada KD, tujuan penaskahannya ialah untuk mendokumentasikan segala bentuk leksikal yang terdapat dalam bahasa Melayu yang kemudiannya telah dijadikan entri bagi kamus tersebut. Dalam soal ini, tidak timbul sama ada sesuatu kata itu salah atau betul tatabahasanya. Selagi kata terdapat dalam bahasa Melayu, maka kata tersebut akan dijadikan sebagai suatu entri.
3) Untuk linguistik yang bersifat preskriptif, kita mempunyai Tatabahasa Dewan (tatabahasa yang menjadi tatabahasa pegangan di institusi pendidikan), Nahu Melayu Mutakhir, Tatabahasa Dinamika Bahasa Melayu dan banyak lagi buku-buku tatabahasa yang dihasilkan oleh pakar-pakar bahasa di Malaysia. Manakala untuk sistem ejaan pula, Daftar Kata Bahasa Melayu (Edisi Kedua) dan Daftar Ejaan Bahasa Melayu merupakan buku panduan yang menjadi pegangan dalam pembentukan sesuatu ejaan.

Setelah kita memahami akan perkara asas ini, maka persoalan manakah yang tepat antara "jawapan" dan "jawaban", akan terungkai. Dalam buku Daftar Kata Bahasa Melayu (Edisi Kedua) tidak tercatat kata "jawaban". Begitu juga dengan buku daftar Ejaan Bahasa Melayu, pun tidak tercatat kata "jawaban". Yang ada ialah "jawapan" sahaja.

Ada yang mengatakan buku Daftar Ejaan Bahasa Melayu sudah ketinggalan kerana sudah lama tidak dikemaskinikan. Sebenarnya yang membangkitkan perkara ini tidak memahami ilmu lingusitik itu sendiri. Jawapan saya begini : sistem ejaan baharu yang telah dilancarkan dan diterima pakai semenjak 1973 adalah berbeza sama sekali dengan sistem tatabahasa. Sistem ejaan tidak akan mengalami perubahan secara dinamik. Kalau begitu sifat ejaannya, maka begitulah kewujudannya. Namun begitu, bagi sistem tatabahasa, oleh sebab sifatnya yang dinamik, maka sesuatu tatabahasa itu mungkin akan mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Pun begitu, perubahannya tidaklah berlaku secara intensif dan berkala. Misalnya, dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, ada dimasukkan Kata Adverba dalam kelompok Kata Tugas. Sebenarnya, Kata Adverba yang dimasukkan ke dalam TD ini bukanlah suatu penemuan baharu. Kemasukannya hanyalah atas dasar untuk memudahkan pendokumentasian bagi aspek leksikografi (perkamusan). Sebenarnya Kata Adverba itu telahpun dapat diterangkan oleh Kata Keterangan yang sebelum ini ada dibincangkan dalam buku Tatabahasa Dewan edisi terdahulu.

Jadi kesimpulannya ialah, "Jawaban" itu boleh dipertikaikan, manakala "jawapan" itulah yang sebenarnya. Sebenarnya banyak lagi hujah untuk membuktikan "jawapan" itu yang betul. Hujah-hujah itu akan menyusul dalam artikel yang ke seterusnya.

Saturday, August 23, 2008

HADIRIN TIDAK LEWAH?

Saya telah bertanya beberapa kemusykilan bahasa melalui ruang yang disediakan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP). Tetapi secara ikhlasnya saya kurang berpuashati dengan beberapa jawapan yang diberikan oleh pegawai (pegawai-pegawai) yang telah diberi tanggungjawab untuk merungkaikan setiap persoalan orang awam.
Misalnya, dahulu saya ada bertanyakan tentang kelewahan yang berlaku dalam bahasa Melayu. Saya memberi beberapa contoh ayat dan frasa-frasa yang sering dituturkan dan digunakan oleh penutur bahasa Melayu. Maka, jawapan yang saya terima ialah kelewahan tidak sepatutnya berlaku dan tidak digalakkan sama sekali.
Namun, apabila saya bertanyakan pula tentang entri “hadirin” yang terdapat dalam Kamus Dewan (KD), jawapan yang saya terima begitu mengelirukan. Beliau mengatakan bahawa itulah istimewanya bahasa Melayu. Tetapi apabila saya bertanyakan semula, bila lewah dianggap istimewa dan bila pula lewah tidak digalakkan, sampai ke hari ini saya tidak diberikan sebarang jawapan oleh pihak DBP.
Pada pemahaman saya, kata “hadirin” itu sudah merujuk kepada ramai. Memang saya tahu bahawa kata “hadirin” ialah kata yang menerima imbuhan bahasa asing (Arab). Itulah yang diberitahu oleh Tatabahasa Dewan (TD). Maka saya bertanyakan pula mengapakah frasa contoh yang diberikan dalam KD “… para hadirin bertepuk tangan” harus dimasukkan untuk menjadi contoh penggunaan kata tersebut. TD telah menetapkan hukum, apabila penanda jamak telah hadir dalam mana-mana bahagian ayat / frasa, maka tidak perlu ada lagi penanda jamak yang lain. Kalau masih juga berlaku hal yang sedemikian (kehadiran penanda jamak yang berulang) maka berlakulah kelewahan dalam sesuatu ayat. Hal inilah yang menjadi kemusykilan saya. Semenjak daripada bangku sekolah, hingga ke universiti, kemudian menjadi guru bahasa, saya telah ditanamkan dengan satu tanggapan bahawa TD dan KD merupakan “kitab pegangan” bagi bahasa Melayu. Apabila “kitab pegangan” itu sendiri mengelirukan, bagaimana pula “pegangan” tersebut boleh menjadi panduan yang berotoriti?
Untuk perbincangan lebih lanjut, kita lihat akan penggunaan kata “hadirin” serta fungsi dan kedudukannya dalam bahasa Melayu. Saya akan cuba membahaskan penggunaan kata hadirin dalam sesebuah wacana.
Saya berikan suatu situasi:
Aman sedang bercakap-cakap dengan Amin. Latar tempatnya di kantin sebuah sekolah. Hanya mereka berdua sahaja yang terlibat dalam percakapan tersebut. Apakah mungkin Aman akan mengucapkan ayat :
“Hadirin sedang makan apa?” kepada Aman. Sudah tentu ayat yang sedemikian tidak akan wujud sama sekali. Sebabnya, perbualan tersebut berlaku secara tidak formal. Lagipun yang terlibat dalam percakapan tersebut hanyalah antara seorang dengan seorang yang lain. Jadi memang jelas perkataan hadirin tidak boleh digunakan apabila digunakan untuk merujuk kepada kata nama tunggal.
Ada pula yang berpandangan bahawa kata “hadirin” digunakan dalam sesuatu majlis. Soalnya sekarang, apakah “majlis” itu wujud sekiranya yang datang hanyalah seorang sahaja? Tuan rumah majlis tersebut tentunya tidak akan mengeluarkan ayat “Silalah hadirin menjamah selera,” kepada hanya seorang tetamunya sahaja.
Secara tuntasnya, memang jelas bahawa kara “hadirin” sudah merujuk kepada jamak. Jadi KD seharusnya dinilai semula akan entri serta contoh frasa yang dikemukakan untuk menjelaskan maksud kata “hadirin”. Atau mungkin ada sesiapa yang berminat untuk mempertahankan frasa “ para hadirin bertepuk tangan” itu sebagai frasa yang tidak lewah?

KATA TANYA DALAM AYAT PENYATA : BENARKAH PENGARUH DARIPADA BAHASA INGGERIS?

Banyak ahli bahasa yang berpandangan bahawa kehadiran kata tanya dalam ayat penyata ialah pengaruh daripada bahasa Inggeris. Pandangan yang sedemikian telah menjadi suatu alasan yang dikemukakan oleh kebanyakan ahli bahasa apabila mereka menyalahkan ayat penyata yang memasukkan kata tanya.
Dalam Tatabahasa Dewan (TD), kata tanya yang telah disenaraikan ialah apa, bila, siapa, mana, bagaimana, dan mengapa. Semua kata ini telah difatwakan tidak boleh hadir dalam mana-mana ayat penyata kerana bersalahan dengan hukum yang telah ditetapkan.
Di sini, saya ingin menarik perhatian tentang alasan yang dikemukakan oleh ahli-ahli bahasa ini. Alasan mutlak mereka ialah fenomena ini berupa pengaruh bahasa Inggeris. Sejauh manakah alasan mereka ini boleh diterima?
Saya dapati dalam beberapa teks karya sastera Melayu lama, telah ada beberapa ayat penyata yang terkandung jenis kata yang digolongkan sebagai kata tanya oleh TD. Misalnya:
i. “… sebab apa barang katanya dan apa barang maksudnya dikabulkan oleh Sang Hiyang Jaganata dan hajatnya disampaikan oleh segala dewa-dewa dan betara.” (Hikayat Panji Semirang, DBP, hal 3)
ii. “Sudahlah”, memang hamba perempuan pasar yang tiada berketahuan asal dan bangsa dan tiada ketahuan turunan mana .” (Hikayat panji Semirang, DBP. Hal 6)
iii. Barang ke mana tuan itu pergi panah itu dibawanya. (Sulalatus Salatin, DBP, hal 95)

Semua hasil karya di atas dihasilkan oleh para cendekiawan Melayu. Kecuali Sulaltus Salatin yang mencatatkan namanya sebagai pencatat karya tersebut, karya-karya yang lain tidak dinyatakan orang yang menulisnya. Tetapi yang pasti, kesemua mereka ini mempunyai satu persamaan. Persamaan tersebut ialah mereka tidak tahu berbahasa Inggeris. Saya berpandangan demikian kerana pada masa tersebut pengaruh Inggeris di alam Melayu belum lagi benar-benar signifikan. Tiada keperluan bagi masyarakat setempat untuk menguasai bahasa Inggeris. Malah yang berlaku ialah orang-orang Inggeris yang bersungguh-sungguh untuk mempelajari bahasa Melayu. Jadi, apakah asasnya yang telah digunakan oleh pakar bahasa untuk mengatakan yang kehadiran kata tanya dalam ayat penyata sebagai pengaruh daripada bahasa Inggeris? Tun Seri Lanang yang tidak tahu langsung tentang bahasa Inggeris tentulah mustahil dalam pemikirannya sudah terpengaruh dengan bahasa tersebut.
Tidakkah ini menunjukkan bahawa begitulah caranya orang-orang Melayu membentuk ayat? Jadi mengapakah kita harus mencipta suatu hukum tatabahasa yang tidak berdasarkan cara pembentukan sesuatu ayat tersebut? Kita mempunyai korpus bahasa, kita haruslah menggunakan korpus tersebut. Jadi adalah tidak salah kiranya kita menambahkan satu lagi fungsi kata tersebut. Mungkin ahli-ahli bahasa boleh memikirkan sesuatu dan mencipta suatu istilah untuk menerangkan kedudukan kata tersebut. Hal ini juga turut terjadi apabila TD telah menambah satu lagi kelas kata dalam kelompok kata tugas iaitu kata adverba. Dahulu kita tidak mempunyai kata adverba. Fungsi kata adverba sudahpun boleh diterangkan dalam golongan kata keterangan. Tetapi sekarang ini dalam edisi terbaharu TD, telah dimasukkan kata adveba.

Malah kalau ditinjau pantun Melayu tradisional pun, terdapat kehadiran kata tanya dalam ayat penyata. Antara contohnya ialah:
Anak dara duduk di pintu,Duduk menunggu padi jemur;Janganlah adik kata begitu,Belasnya abang bila mendengar.
Ikan putih terenang-renangAnak sepat dari muaraSungguh sedih bila dikenangSahabat setia buat angkara
Mungkin ada yang berpendapat bahawa telah berlaku pengguguran kata “apa” dalam perkataan “apabila”. Jadi timbullah ungkapan “…belasnya abang bila mendengar”. Sepatutnya ialah “…belasnya abang apabila mendengar.”
Sebenarnya, inilah yang menjadi sedikit kekeliruan bagi tatabahasa yang berpegang kepada teori TG. Secara asasnya teori ini berpegang kepada perubahan-perubahan yang berlaku dalam sesuatu pembinaan ayat / frasa. Teori ini ada struktur luaran dan struktur permukaan. Kalau ditinjau aspek ini, maka pendapat yang mengatakan berlakunya pengguguran morfem memanglah boleh diterima. Pengguguran itu mungkin berlaku disebabkan pengucap pantun ini ingin menjaga bilangan suku kata serta jeda pantun ini. Tetapi apakah ini satu-satunya alasan yang boleh diterima? Soalnya, mengapa pengguguran itu berlaku pada kata “bila”? Mengapa tidak pada perkataan-perkataan lain? Misalnya pengguguran “belasnya” menjadi “belas” sahaja, ataupun pengguguran imbuhan “men-“ dalam kata “mendengar” menjadi “dengar” sahaja. Ini menunjukkan bahawa pemilihan perkataan “bila” itu sebenarnya berlaku dalam keadaan semulajadi. Itulah caranya orang-orang Melayu membentuk ayat dan bahasa mereka. Mengapakah kita harus menyalahkan kepada sesuatu yang sudah menjadi kelaziman?

Thursday, August 21, 2008

Tatabahasa Melayu itu ialah Tatabahasa Dewan?

Semua sudah maklum bahawa tatabahasa pegangan / rasmi yang telah diangkat sebagai tatabahasa pegangan ialah tatabahasa yang bersandarkan Tatabahasa Dewan (TD). Buku TD ini telah dikarang oleh empat orang tokoh bahasa tersohor negara iaitu Profesor Emiritus Dato' Dr Nik Safiah Karim, Dr Farid M Onn, Profesor Dr Abdul Hamid Mahmood, dan Profesor Dr Hashim Musa. Oleh kerana semua sarjana tersebut berpegang kepada teori Transformasi Genaratif (TG), maka sudah tentulah pembicaraan dalam TD akan beracuankan TG.
Untuk tulisan yang seterusnya saya akan membicarakan beberapa aspek yang menjadi kekeliruan para pengamal bahasa Melayu apabila mereka menjadikan TD sebagai kerangka rujukan untuk berbahasa dengan molek.